ISRAELIYYAT; SATU PEMAHAMAN.

Muqaddimah :

Asas pembinaan dalam Islam ialah al-Quran dan as-Sunnah. Kedua-dua sumber terpenting ini mesti diletakkan di hadapan dan dijadikan rujukan kerana al-Quran adalah dari Allah SWT, manakala as-Sunnah Sohihah pula bersandarkan persabdaan nabi SAW yang dibimbing wahyu Allah.

Kefahaman yang betul tentang al-Quran dapat diperolehi menerusi Manhaj Tafsir yang digariskan ulamak berdasarkan ciri-ciri dan syarat-syarat yang ditentukan. Antaranya, meletakkan Tafsir Bil-Ma’tsur (Tafsir berdasarkan hadis dan riwayat) sebagai asas Tafsir, disusuli dengan Tafsir Bil ra’yi yang selari dengan kehendak syara’.

Penguasaan dalam bidang Usul Hadis dan pengajian hadis amat mustahak bagi memahami Tafsir Bil-Ma’sur. Tanpa pengetahuan mendalam dalam bidang hadis amat sukar bagi seseorang itu memahami Tafsir Bil-Ma’sur.

Israiliyyat adalah isu yang berkait rapat dengan Tafsir Bil Ma’sur kerana ia berkembang melalui periwayatan. Kewujudannya di celah-celah tafsiran al-Quran boleh menimbulkan bahaya tanpa disedari khususnya Israiliyyat yang bersifat merosakkan aqidah seseorang. Dalam banyak hal ia boleh menghalang seseorang dari memahami dan menghayati al-Quran.

Isu Israiliyyat perlu ditangani menerusi pemahaman yang betul tentang zat Israiliyyat itu sendiri, pembahagiannya serta cara atau pun kaedah bagi mengenal pasti atau mengenal Israiliyyat. Untuk tujuan itu, kertas ini dikemukakan.

Pengenalan :

Pengenalan Israiliyyat sebagaimana yang dinyatakan oleh Doktor Muhammad Husin az-Zahabi rahimahullah: “lafaz Israiliyyaat- pada zahir adalah lafaz yang jama’, lafaz mufradnya Israiliyyat. Ia adalah kisah atau peristiwa yang dinukilkan dari sumber Israiliyyi dinisbahkan kepada Israiliyyat iaitu Nabi Ya’qub bin Ishak bin Ibrahim. Kepadanyalah dinisbahkan bangsa Yahudi, lalu dikatakan “ Bani Israil”
(Az-zahabi , Doktor Muhammad Husin, al-Israiliyyaat dalam Tafsir dan Hadis, muka surat 19)

Menurut Doktor Zahabi ulamak tafsir dan hadis telah memperluaskan pengertian Israiliyyat daripada hanya berkisar tentang cerita yang bersumberkan Yahudi kepada apa jua yang dianggap tidak berasas samada ia berbentuk dongeng dahulu kala ( sebahagian ulamak melabelkannya ( الدّخيل ) yang boleh jadi asalnya adalah dari sumber Yahudi atau Nasrani atau sumber-sumber lain (Ibid., muka surat 19-20). Oleh kerana kebanyakan cerita yang diterima bersumberkan sumber Yahudi, maka lafaz Israiliyyat lebih sesuai digunakan.

Pengenalan atau definisi Israiliyyat yang dikemukakan oleh Doktor Zahabi amat penting kerana beliau dikira tokoh utama yang membincangkan persoalan berkaitan Israiliyyaat. Sehigga hari ini, saya tidak mendapati seseorang pun yang menulis atau membahaskan isu Israiliyyat melainkan ia terpaksa merujuk kepada tulisan dan pandangan Doktor Zahabi
(lihat: Doktor Ahmad Najib bin Abdullah. Tesis Ph.D muka surat 16-18.Universiti Islam Madinah)

Perkembangan Ringkas Israiliyyat :

(lihat, al-Israiliyyaat dalam Tafsir dan Hadis, muka surat 22-38)

Menurut sejarah, orang-orang Yahudi telah pun menetap bersama dengan orang-orang Arab sejak zaman sebelum Islam. Mereka memiliki ilmu pengetahuan yang diambil dari ajaran Kitab Taurat dan buku-buku ugama mereka yang lain. Orang-orang Arab sering kali bertanya orang-orang Yahudi tentang perkara-perkara yang berhubung sejarah lama berkenaan tokoh, peristiwa dan cerita tertentu. Sebahagian sahabat nabi seperti Abu Hurairah dan Abu ‘Abbas r.a ada bertanya ahli kitab Yahudi yang memeluk Islam tentang beberapa perincian cerita terdahulu (Ibid, muka surat 66. التفسير والمفسرون 1/70. Ibnu kasir, البداية والنهاية ,1/17 …) tetapi pertanyaan mereka adalah terhad kepada aspek-aspek tertentu, tidak termasuk persoalan akidah. Mereka melakukan demikian kerana mereka faham keharusan yang diberikan nabi SAW dalam meriwayatkan cerita Israiliyyat.

Di zaman tabi’in, proses periwayatan Israiliyyat menjadi lebih aktif disebabkan kecenderungan masyarakat mendengar cerita-cerita yang agak luar biasa.

Apabila datangnya tabi’ tabi’iin periwayatan menjadi lebih serius dengan munculnya golongan “القصّاص” (al-Qassas) iaitu penyampai cerita yang tidak bertanggungjawab.

Era pembukuan karya Islam kemudiannya menyaksikan bagaimana tafsir al-Quran termuat dicelah-celah tajuk kitab-kitab hadis sebelum ia terpisah dan dapat menentukan kedudukannya sendiri.

Pada peringkat awalnya, tafsir al-Quran dipersembahkan dengan lengkap bersanad kemudiannya sanad-sanad yang menghiasi matan-matan riwayat dibuang dengan tujuan untuk meringkaskan dan meringankan saiz kitab-kitab tafsir yang penuh sarat dengan muatan rangkaian perawi itu.

Justeru terbuangnya sanad, maka riwayat-riwayat tafsir mula menempuh keadaan yang amat sukar dan bermasaalah di mana tidak dapat dipastikan lagi riwayat yang boleh diterima dan riwayat yang tidak boleh diterima. Dari timbunan riwayat inilah terdapat Israiliyyaat yang akhirnya melengkapi sebahagian besar tafsiran ayat-ayat al-Quran. Ini berlaku bukan sahaja kepada kitab-kitab Tafsir Bil Ma’tsur bahkan menular kepada kitab-kitab Tafsir Birra’yi dengan kadar yang berbeza.

Pembahagian Israiliyyat :

Apabila disebut Israiliyyat pada kebiasaanya ia merujuk kepada riwayat-riwayat Israiliyyat yang bersifat negatif atau yang sukar diterima isinya.

Merujuk kepada pembahagian ulamak antaranya Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Ibnu Taimiyyah, Muqaddimah dalam Usul Tafsir, muka surat 100) Israiliyyat dapat dibahagikan kepada tiga bahagian:
  • Pertama: Israiliyyat yang selari dengan apa yang ada di dalam sumber Islam, al-Quran dan as-Sunnah as-Sohihah. Contohnya: riwayat yang menyebut rakan seperjalanan Nabi Musa a.s ialah Khidir.
  • Kedua: Israiliyyat yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah as-Sohihah. Contohnya: crita malaikat Harut dan Marut yang terlibat dengan dosa besar. Minum arak, berzina dan membunuh
  • Ketiga: Israiliyyat yang tidak dapat dipastikan statusnya (maskut anhu). Contohnya, riwayat-riwayat yang menyebut bahagian anggota lembu yang diambil untuk memukul si mati dalam kisah bani Israil. 

Hukum Meriwayatkan Israiliyyat :

Terdapat dua pandangan ulamak dalam masalah ini.

Pandangan pertama: Tidak harus meriwayatkan Israiliyyat. Antara dalil mereka, hadis nabi S.A.W: ولا تصد قوا أهل الكتا ب و لا تكذبوهم, وقو لوا آ منا بالله وما انزل الينا Maksudnya:

“ Janganlah kamu mempercayai Ahli Kitab dan janganlah pula mendustai mereka, katakanlah kami beriman kepada Allah dan kepada kitab yang diturunkan kepada kami…”
(Al-Bukhari, Sohih Bukhari, hadis nombar 4485)

Hadis ini melarang orang –orang Islam menaruh kepercayaan kepada cerita-cerita Ahli Kitab berkenaan Kitab Taurat dan sebagainya
(Az-Zahbi, al-Israiliyyat dalam Tafsir dan hadis, muka surat 55-56).

Pandangan kedua: Harus meriwayatkan Israiliyyat. Antara dalil mereka, hadis nabi S.A.W: بلغوا عنى ولو آية, وحدثوا عن بنى اسرائيل لا حرج, ومن كذب على متعمدا فليتبوأ مقعده من النار. Maksudnya;

“Sampaikanlah daripadaku sekalipun satu ayat, riwayatkanlah daripada Bani Israil, tiada salahnya. Sesiapa melakukan pendustaan terhadapku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyiapkan tempatnya dalam neraka”
(Bukhari, Sohih al-Bukhari, Hadis Nombar 3461)

Kedua-dua pandangan ini mempunyai dalil dan hajat masing-masing tetapi setelah dibuat penelitian, kedua-dua pandangan tersebut dapat disesuaikan mengikut pertimbangan berikut:

1. Al-Quran sendiri banyak menceritakan cerita-cerita Bani Israil dan cerita-cerita tentang umat terdahulu. Ia juga mengisyaratkan keharusan merujuk kepada Ahli Kitab.
2. Nabi S.A.W pula ada menceritakan tentang cerita Bani Israil seperti A-Abros, Al-‘Ama, Al-Akro’ dan cerita A-Ghor. Hadis Nabi S.A.W yang mengharuskan periwayatan Israiliyyaat tidak bermaksud bahawa keharusan itu adalah mutlak.
3. Ia terikat kepada apa yang baik atau sesuatu cerita atau perkara yang tidak dipastikan statusnya yang mana ia boleh dianggap benar atau dusta, tetapi tiada petunjuk yang memperlihatkan dusta atau batilnya.
4. Riwayat-riwayat Israiliyyat yang jelas dustanya atau yang tidak boleh diterima akal yang waras, maka tidak harus disebarkan melainkan dengan disebut kebatilannya.

Kaedah Mengecam Israiliyyaat :

Bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk mengatakan sesebuah riwayat itu Israiliyyaat atau tidak. Ilmu yang amat mustahak yang tidak dapat tidak mesti dimiliki oleh mereka yang ingin menguasai bidang ini ialah Ilmu Tafsir al-Quran, khususnya yang melibatkan kisah-kisah al-Quran, Ilmu Mustholah Hadis, Ilmu Rijaal Hadis, di samping pengetahuan mendalam tentang hadis-hadis yang sohih dan tidak sohih berkenaan kisah para Nabi dan kisah-kisah lampau.

Di sini saya cuba menyenaraikan beberapa kaedah atau cara yang boleh membantu bagi mengenal atau mengecam Israiliyyaat. Kaedah ini diperolehi setelah penulis membuat kajian terperinci terhadap ciri-ciri Israiliyyaat yang terdapat di dalam Tafsir At-tobari dengan mengambil kira pandangan ulamak mu’tabar dalam membuat kritikan dalam riwayat-riwayat Israiliyyaat (lihat, Doktor Ahmad Najib Bin Abdullah. Tesis Ph.D, muka surat 40-66.Universiti Islam Madinah)

Supaya lebih teratur, saya bahagikan cara ini kepada empat sudut , pertama, pengamatan kepada sanad riwayat Israiliyyaat, kedua, pengamatan kepada matannya, ketiga, merujuk kepada pandangan ulamak yang mu’tabar dalam bidang Israiliyyaat dan keempat, merujuk kepada sumber-sumber Yahudi sendiri.

Pertama: Pengamatan Sanad

  • Rijaal / perawi terkenal dengan meriwayatkan Israiliyyat seperti Abdullah Bin ‘Amar Bin al-‘Ash, Abu Hurairah dan Abdullah Bin Salam dari kalangan sahabat. Dari kalangan tabi’in pula seperti Ka’ab Bin al-Ahbar, Wahab Bin Munabbbih, as-Saiyyidul al-Kabir, Qatadah, al-Hasan al-Basri dan Mujahid manakala dari kalangan golongan tabi’ tabi’in pula seperti Ibnu Ishaq, Ibnu Zaid dan Ibnu Juraih. 


  • Terdapat kenyataan jelas dari perawi menyebut bahawa riwayat yang disampaikan adalah bersumberkan sumber Israiliyyaat. 


  • Sanad riwayat Israiliyyaat kebiasaannya bersifat terhenti “mauquf” kepada sahabat, bukan “marfu’” kepada Nabi S.A.W.


Kedua: Pengamatan Matan

  • Persoalan yang disentuh Israiliyyaat biasanya mengenai asal usul kejadian alam serta rahsianya seperti asal usul kejadian langit dan bumi serta cerita “الجوت” Matan mengandungi kisah para Nabi dan kisah-kisah lampau.
  • Perincian kepada kesamaran (mubhamat) iaitu perkara yang tidak dijelaskan al-Quran seperti menentukan jenis pokok larangan dalam syurga yang dilarang Allah kepada Nabi Adam dan isterinya Hawa dan menentukan bahagian anggota lembu yang digunakan untuk memukul si mati dalam kisah bani Israiliyyaaat.
  • Matan memperlihatkan “keterlampauan” ketara seperti cerita salah seorang anak Nabi Adam a.s yang memikul saudaranya yang dibunuh selama seratus tahun, dibawanya ke sana ke mari sehingga Allah menghantar burung gagak untuk mengajarnya cara menyimpan jenazah saudaranya itu.
  • Matan mengandungi perkara-perkara yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah as-Sohihah seperti matan yang menyebut bahawa isteri Nabi Nuh a.s adalah daripada mereka yang selamat dari azab banjir besar.
  • Matan mengandungi perkara-perkara yang menyalahi kesucian “`ashamah” para Nabi dan malaikat seperti dalam cerita keinginan nabi Yusuf terhadap isteri pembesar Mesir yang sampai keperingkat paling kritikal iaitu menangggalkan seluar serta kisah tentang malaikat Harut dan Marut.
  • Matan menyebut cerita-cerita khurafat dan karut seperti cerita gergasi “’Aaj bin ‘Unuq” dan puak “jabbaarin”. Matan menceritakan sesuatu yang pelik “gharib” seperti yang menyebut bahawa bilangan alam sebanyak lapan belas ribu atau empat belas ribu.
  • Adanya percanggahan fakta pada matan seperti penentuan anggota lembu bani Israil di mana ada yang mengatakan paha, lidah, ekor dan sebagainya.
  • Terdapat kenyataan di dalam matan menyebut bahawa ia diambil dari sumber Israiliyyaat samada dari Ahli Kitab atau kitab Bani Israil.
  • Disebut pada matan lafaz-lafaz “tadh’if” atau tamridh yang menjelaskan bahawa ia dianggap lemah.

Ketiga: Merujuk kepada Ulamak

Ulamak yang banyak membicarakan isu Israiliyyaat seperti: Ibnu Hazam dalam kitab al-Faslu Fil Milaali Wal Ahwa’i Wan Nihal.


  • At-Thobari dalam kitab Jami’ul Bayan Fi Ta’wili Aayil Quran dan Tarikhul Umami Wal Muluk.
  • Al-Qodhi ‘Iadh dalam Kitabus Syifaa’ Bita’rifi Huquqil Mustafa.
  • Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah dalam kitab An-Nubuwwah dan Al-Jawabus Sahihu Li Man Baddala Diinul Masih.
  • Ibnul Qayyim dalam kitab Hidayatul Hiyari Fi Ajwibatil Yahudi Wan Nashora.
  • Al-Hafiz Ibnu Katsir dalan kitab tafsirnya dan juga Al-Bidayatu Wan Nihayah.
  • Rahimahullah Al-Hindi dalam Izharul Haq.
  • Jamaluddin al-Qosimi dalam Mahasinut Ta’wil.
  • Doktor Muhammad Husin az-Zahabi dalam Al-Israiliyyaat Fit Tafsir Wal Hadits dan Kitabut Tafsir Wal Mufassirun.
  • Al-‘Allamah Abu Syahbah dalam Al-Israiliyyaat Wal Maudhu’at Fi Kutubit. Tafsir.
  • Syeikh Abdul Wahab an-Najjar dalam Qishoshul Anbiya’.


Keempat: Merujuk Sumber-sumber Yahudi

Tujuan merujuk kepada sumber-sumber Yahudi tidak bermaksud kita mengiyakan atau membenarkan apa yang termaktub dalam kitab-kitab mereka tetapi sekadar untuk melakukan perbandingan dengan kitab-kitab warisannya ulamak mu’tabar kita dalam soal-soal yang berkaitan dengan Israiliyyaat. Sekiranya ia disebut dalam sumber-sumber berkenaan maka ia meyakinkan kita bahawa ia memang satu riwayat Israiliyyaat.

Sumber-sumber Yahudi seperti berikut:

1. Kitab Taurat.
2. Talmud.
3. Kitab-kitab Yahudi yang lain.

Selain daripada sumber Yahudi terdapat juga sumber Nasrani yang termuat dalam Kitab Injil tetapi Israiliyyaat di dalam sumber Nasrani amat sedikit berbanding sumber Yahudi sendiri.

Penutup :

Israiliyyaat merupakan cerita-cerita berkaitan rapat dengan warisan Yahudi. Ia tersebar melalui berbagai peringkat dan suasana sehingga mampu bertapak di dalam karya warisan Islam, tafsir dan hadis. Kehadirannya perlu ditangani dengan sebaik mungkin melalui pengkelasan yang wajar berdasarkan pembahagian ulamak terhadap Israiliyyaat.

Tiada jalan pilihan bagi kita melainkan kita menolak segala rupa bentuk Israiliyyaat yang menyalahi pegangan kita sebagai orang Islam dan boleh menjahanamkan aqidah kita terhadap Allah, malaikatnya serta para Rasulnya. Israiliyyaat yang statusnya tidak jelas “maskut ‘anhu” hendaklah diriwayati dengan bijak walaupun ia harus diriwayatkan namun kita diingatkan untuk tidak memberi perhatian kepada perkara yang tidak memberi faedah, tidak mendekatkan diri kita memahami dan menghayati al-Quran, sebaliknya ia hanya menghabiskan masa sahaja. Pengamatan pelbagai dimensi penting bagi mengenal pasti riwayat Israiliyyaat. Penganalisis Israiliyyaat perlu mempunyai daya kritik yang tinggi serta sifat berani demi memperjuangkan kebenaran.

Oleh: Doktor Ahmad Najib Bin Abdullah
(Petikan dari majalah ‘Pengasuh’ Bilangan 592)

0 Response to "ISRAELIYYAT; SATU PEMAHAMAN."

Posting Komentar