Ekonomi Malaysia; Satu Pencerahan

Hari ini sana sini orang bercakap mengenai Model Ekonomi Baru. Sebenarnya kita masih ternanti-nanti apa yang 'baru'nya di dalam model ekonomi ini.


PENDAPATAN DAN KUASA MEMBELI

Masalah paling ketara di dalam model ekonomi sekarang ialah pendapatan yang rendah. Lebih teruk lagi, pendapatan kita tak banyak berubah semenjak 20 tahun yang lalu. Bayangkan dari zaman Dr Mahathir dulu hinggalah ke era Najib sekarang- starting gaji graduan masih dalam lingkungan RM1500-RM2000. Itupun ada yang lagi rendah.

Pada masa yang sama, rakyat di negara Singapura, Taiwan, Hong Kong dan Korea Selatan terus menikmati pendapatan yang tinggi. Malah antara yang tertinggi di dunia. Maunya rakyat Malaysia tak jeles dan bengkek. Sedangkan negara-negara ini dulu lebih kurang je taraf ekonominya dengan kita.

Maka ramailah orang yang terus membuat kesimpulan bahawa kita tidak pandai menguruskan ekonomi. Model ekonomi kita tidak bagus, teruk dan kurang berjaya. Kita sudah ketinggalan dengan negara-negara Asia yang lain.

Sebenarnya pandangan ini separuh benar.

Memang benar pendapatan kita lebih rendah jika dibandingkan dengan Singapura, Taiwan dan Hong Kong. Tetapi yang perlu dillihat bukan seberapa banyak ringgit, dolar atau won yang diperolehi. Sebaliknya apa yang penting ialah seberapa banyak yang boleh dibeli daripada jumlah ringgit, dolar atau won yang ada.

Dalam bahasa ekonomi kita panggil per capita income dan purchasing power parity. Bagaimanapun, ni istilah jargon. Ramai yang tak faham dan bikin pening sahaja. Jadi saya tak nak guna. Lagipun saya bukan nak karang buku teks ekonomi.

Dalam bahasa mudah begini- buat apa ada 10 ringgit dalam tangan tetapi nilainya hanya 5 ringgit. Nak makan McValue Meal pun tak lepas. Lebih baik ada 5 ringgit dalam dompet tetapi nilainya 10 ringgit. Siap boleh tambah Sundae Cokelat lagi lepas order set Fillet O Fish.


Ini secara simple saya cuba terangkan apa itu kuasa membeli. Walaupun tidak 100% tepat tetapi umumnya ia masih dapat difahami.

Jadi di mana kedudukan Malaysia dalam kuasa membeli?

Walaupun pendapatan rakyat Malaysia hanya yang ke 58 tertinggi di dunia, tetapi kuasa membeli kita adalah ke 28 terbaik. Berbanding Singapura dan Hong Kong yang pendapatan rakyatnya adalah ke 3 dan ke 5 tertinggi, tetapi kuasa membelinya hanya yang ke 47 dan 39 di dunia.

Sebab itu saya katakan pandangan tadi adalah separuh benar. Mereka yang sering membuat perbandingan pendapatan kita dengan Singapura, Taiwan dan Hong Kong hanya melihat angka yang dicetak di atas kertas ringgit, dolar dan won. Mereka gagal melihat atau memilih untuk tidak melihat kuantiti yang ada di luar angka tersebut.

KOS SARA HIDUP DAN SUBSIDI

Selain itu Malaysia bukannya tidak mahu meningkatkan pendapatan penduduk. Tetapi ia sengaja dibiarkan rendah dan sederhana. Caranya dengan merendahkan nilai ringgit berbanding mata wang lain dan juga memberikan subsidi kepada sumber tenaga, makanan, pendidikan dan perubatan. Ini sekaligus memastikan kos sara hidup kita rendah. Selama 25 tahun strategi kita begini.

Analoginya macam kos sara hidup di kampus dan di luar kampus. Kita semua tahu pelajar-pelajar universiti bukannya ada duit sangat. Duit PTPTN pun kadang-kadang cukup-cukup dan kadang-kadang tak pernah cukup. Tapi cuba kita kira harga makanan di kafe. Secara keseluruhannya lebih murah berbanding harga makanan di resoran luar. Kat kafe- nasi putih dengan ayam goreng taruk kuah adalah dalam RM3. Cuba kalau kat gerai di seberang pagar kampus, maggie goreng je dah RM3. Nasi dengan ayam goreng- lu kiralah sendiri.


Begitu juga kalau kita pergi ke klinik dalam kampus- hanya dikenakan bayaran RM1. Kalaulah pergi klinik luar- demam pun dah kena caj berbelas ringgit. Kalau bukan kerana subsidi, mustahil nak dapat makan murah serta caj klinik RM1.

Jadi Malaysia memilih menjadi seperti 'kampus universiti.' Biar pendapatan tak banyak, asalkan benda nak dibeli tak mahal. Biar pekerja dibayar sedikit, tetapi membayar perkhidmatan pada harga murah. Bayar RM900-RM1500 pun dah cukup selesa untuk hidup di bandar. Kereta pun boleh dibeli cash sahaja memandangkan harga sekitar RM10000-RM15000. (itu belum di kawasan luar bandar). Bayangkan betapa rendahnya kos sara hidup ketika itu.

PELABURAN ASING

Dengan merendahkan kos sara hidup, syarikat-syarikat yang masuk melabur tidak perlu membayar gaji yang terlalu tinggi kepada pekerja tempatan. Ini sekaligus megurangkan kos operasi lantas syarikat boleh membuat keuntungan yang tinggi. Perkara ini sudah tentu menjadi selling point Malaysia kepada syarikat-syarikat luar negara khususnya kepada syarikat elektrik dan elektronik yang banyak menggaji tenaga kerja manusia.

Maka tidak hairan Malaysia menjadi 'harimau Asia'. Pelaburan asing masuk seperti apa yang berlaku di China dan India sekarang. Dalam tempoh kurang dari 10 tahun, Malaysia menjadi pengeksport barangan elektronik terbesar di dunia. Dari jumlah hanya RM10 billion pada 1985 meningkat kepada RM324.1 billion di tahun 1994.

KESIMPULAN

Walaupun dengan tidak menjadi negara berpendapatan tinggi seperti Singapura dan Hong Kong, Malaysia masih mampu mempunyai kuasa membeli yang tinggi, memastikan kos sara hidup yang rendah dan menarik pelaburan asing masuk. Ini semua adalah kejayaan model ekonomi sekarang (atau lama?) yang bergantung kepada kos tenaga buruh/pekerja yang rendah.

Kalau begitu- mengapa mahukan model ekonomi baru? Jawapannya kerana apa yang menjadi punca kejayaan ekonomi semenjak 25 tahun dahulu, kini menjadi punca masalah ekonomi sekarang.

Kuasa membeli rakyat Malaysia semakin berkurang. Kos sara hidup semakin meningkat. Harga barang naik. Tapi gaji tak berubah.Nak tukar kerja- tak ada kerja sangat. Nak subsidi memerlukan jumlah wang yang banyak. Tetapi kantung kerajaan tidak bertambah. Pelaburan tak masuk. Malaysia semakin kurang kompetitif. China, India, Vietnam dan Indonesia lagi murah dari kita. Pusing punya pusing model ekonomi yang berasaskan bayaran murah sudah tidak sesuai di negara kita.

Walaupun selama dua dekad ekonomi kita berjaya kerana berasaskan kepada gaji tenaga pekerja yang murah dan kos sara hidup yang rendah, tetapi model ini perlu diubah. Kenapa perlu GTP?

PERSAINGAN DARI NEGARA YANG LAGI MURAH

Malaysia merupakan destinasi pelaburan utama di Asia bagi para pelabur sekitar tahun 1990-an. Hal ini kerana kos kita murah berbanding dengan negara-negara Asia yang lain. Tetapi seawal tahun 2000 muncul negara yang lebih murah seperti China, India, Vietnam dan Indonesia. Gaji tenaga pekerja di China sahaja serendah USD100 (RM350). Jadi bagaimana Malaysia hendak bersaing? Takkan nak rendahkan gaji yang sudah sedia rendah?

Senang cerita, tidak ada gunanya hendak bersaing dengan China, India dan Vietnam dari segi kos pekerja. Pelabur asing tetap memilih negara mereka. Ia ibarat bersaing dengan Manchester United untuk memenangi Premier League.

PENDAPATAN PEKERJA SEMAKIN RENDAH

Seterusnya apa yang berlaku ialah tenaga kerja asing mula dibawa masuk. Syarikat di Malaysia ingin merendahkan lagi kos perniagaan mereka. Mereka ingin sama kompetitf dengan syarikat yang melabur di China, India dan Vietnam. Ini sekaligus mengakibatkan 3 juata warga asing bekerja di negara kita.


Secara tidak langsung, obsesi terhadap tenaga buruh asing telah menyebabkan taraf pendapatan kesemua pekerja tidak meningkat. Lagi teruk, ia menjadi semakin rendah. Logiknya, kenapa perlu membayar gaji RM2500 untuk seorang jurutera Malaysia kalau dengan jumlah yang sama boleh mendapat 2 orang jurutera dari Indonesia? Oleh itu rakyat Malaysia menghadapi dilema sama ada tidak dapat pekerjaan atau dibayar dengan rendah seperti tenaga kerja asing.

KOS SARA HIDUP MENINGKAT

Selama berdekad lamanya, rakyat Malaysia membeli barang=barang harian di bawah harga yang sebenar. Ini kerana kerajaan mengsubsidi harga barangan tersebut. Perkara ini untuk memastikan kos sara hidup tidak tinggi. Selama berdekad lamanya strategi kita begini.

Tetapi di tahun 2007 harga komoditi makanan seperti gandum, gula, beras dan daging telah meningkat. 'Terima kasih' kepada para spekulator di Wall Street yang menjadikan makanan sebagai objek untuk berjudi dan membuat untung. 'Terima kasih' juga kepada kegilaan para petani yang menanam jagung untuk bio fuel kereta dan bukan untuk perut manusia.


Pada masa yang sama penduduk di muka bumi ini semakin bertambah, bermakna permintaan meningkat. Cuaca yang tidak menentu seperti kemarau pula menyebabkan produktiviti berkurangan.

Kesan daripada kesemua perkara ini ialah makanan menjadi semakin sedikit . Dan lebih teruk lagi makanan yang sedikit jumlahnya ini menjadi semakin mahal.

Di Malaysia, kalau dahulu kerajaan mengsubsidi sebanyak 80 sen bagi memastikan harga tepung gandum kekal RM1.15/kg, kini dengan subsidi 80 sen, harganya telah meningkat kepada RM1.35/kg. Jika sebelum krisis makanan, harga gula ialah RM1.20 tetapi selepas krisis RM1.40. Jangan salah sangka- subsidi tidak ditarik. Tetapi sekalipun subsidi masih diberi harga barangan tetap meningkat. Melainkan kerajaan menambah jumlah subsidi.

Bayangkan perkara yang sama berlaku kepada hampir semua barangan makanan. Harga beras naik, harga minyak masak naik, harga ayam naik- senang cakap hampir kesemua harga barangan naik. Mana tidaknya kos sara hidup meningkat. Dulu beli barang dapur RM500 sebulan tetapi sekarang RM700 pun tak cukup.

Tidak cukup dengan itu, kos bahan api juga meningkat dengan gila dari tahun 2003 hingga 2008. Kalau dulu satu tong hanya USD15-USD25 tetapi semenjak 2003 harganya mula melepasi USD30 hinggalah kepada USD120 pada 2008. Ini menyumbang kepada kenaikan kos pengangkutan sepeti bas awam dan juga kos tenaga seperti elektrik.

Sekali lagi perkara ini menyebabkan kos sara hidup kita meningkat. Perkara ini masih tidak banyak berubah hingga ke hari ini.


KESIMPULAN

Ini adalah punca mengapa model ekonomi kita sekarang sudah tidak boleh diguna pakai. Kalau nak berasaskan tenaga kerja yang murah- ada lagi yang murah. Malah jauh lagi murah. Kalau nak memastikan kos sara hidup rendah- subsidi perlu ditambah bukan setakat dikekalkan. Tetapi adakah kerajaan cukup duit? Kita bukan negara kaya. Pelaburan pun saban tahun berkurangan.

Nak struktur subsidi supaya kos berkurangan, ramai yang menentang multi-tier petrol scheme sehingga ia dibatalkan. Nak tambah pendapatan kerajaan supaya boleh tampung kos subsidi pun ramai yang marah. Contohnya seperti GST dan real property gains tax. (Inilah akibat jika kerajaan tiada kredibiliti. Buat perkara yang popular- kena perlekeh. Buat perkara yang tak popular- lagilah kena tibai.)

APA YANG BOLEH DILAKUKAN?

Jadi solusinya kita perlu merubah model ekonomi sekarang. Kerajaan kena cari source of income yang baru kerana hampir 50% pendapatan datang dari industri petroleum. (Singapura dimana pendapatannya datang dari perlbagai sumber seperti perkhidmatan kewangan, pembuatan dan perdagangan dan lain-lain).

Sektor lain yang menyediakan pekerjaan bergaji tinggi perlu diperhebatkan. Contohnya seperti sektor kewangan, ICT dan minyak&gas. Dengan cara ini pendapatan rakyat boleh ditingkatkan. Secara tak langsung zaman starting gaji graduan RM1500 akan berlalu.

Kalau dulu kita cuba menarik pelaburan dari Coca Cola, Intel dan Mercedes, sekarang sudah tiba masanya kita wujudkan our own Coca Cola, Mercedes dan Intel. Keghairahan menarik pelabur asing perlu digantikan dengan keinginan memperhebatkan pelabur tempatan. Jika kerajaan boleh memberi soft loan RM700 juta kepada syarikat asing buat Legoland di Nusajaya, kenapa tidak memberi soft loan kepada 500,00 SME di negara kita?


Gaji minimum untuk pekerja-pekerja di ladang, kilang dan buruh binaan juga adalah satu kemestian bukan lagi satu pilihan. Zaman pekerja dibayar ciput perlu dihentikan. Dengan ini kebergantungan terhadap pekerja asing boleh diatasi.

Dan yang paling penting, rakyat Malaysia kena bersedia dengan kos sara hidup tinggi jika mahukan pendapatan tinggi. Kalau nak pendapatan macam rakyat Singapura dan Jepun, kos sara hidup pun kenalah seperti Singapura dan Jepun juga.

Tak gitu?

Sumber: Basuh Baju

0 Response to "Ekonomi Malaysia; Satu Pencerahan"

Posting Komentar