Ekonomi Malaysia; Satu Diagnosis

Tiada siapa dapat menafikan bahawa ekonomi Malaysia berada di tahap yang membimbangkan.


Di pihak kerajaan, langkah transformasi ekonomi telah diambil melalui agenda GTP dan ETP dalam menangani permasalahan sosio-ekonomi rakyat melalui program-program berteraskan NKRA dan NKEA seperti BR1M, KR1M, PR1MA, TR1MA dan seumpamanya. Di pihak Pakatan Rakyat pula, agenda reformasi ekonomi turut direncanakan di dalam versi Buku Jingga dan pelbagai janji serta harapan yang diberi. Namun, natijah kepada pihak di bawah masih samar.

Ketelusan fiskal adalah kritikal tatkala paras defisit dan hutang mencecah paras bahaya. Semua mata pastinya tertumpu ke arah kadar hutang kerajaan persekutuan yang tidak menunjukkan sebarang tanda penurunan daripada terus menghampiri had siling 55 peratus nisbah hutang kepada KDNK (2013: 54.2 peratus; 2012: 53.7 peratus), dengan melihat gaya berbelanja yang ‘pemurah’ tetapi pada masa yang sama ‘boros’, sedangkan negara Malaysia punyai hasil semulajadi yang pelbagai. Mutu disiplin pengurusan kewangan kerajaan juga perlu dipertingkatkan tatkala perbelanjaan sebenar pada tahun-tahun lepas, khususnya perbelanjaan mengurus, selalu melangkaui bajet yang telah diberikan dengan mengemukakan bajet tambahan (supplementary budget) apabila sesi kewangan tahunan baru bermula.



Inflasi umpama sukar untuk dibendung, khususnya pada suku pertama tahun 2013 apabila berlaku peningkatan pendapatan bolehguna yang mendadak daripada pelbagai skim bantuan dan baucer seumpama BR1M yang pastinya akan menghasilkan situasi peningkatan permintaan mendadak (too much money chasing too few goods) dan seterusnya situasi inflasi tarikan-permintaan (demand-pull inflation) yang memerlukan kawalan di samping situasi inflasi tekanan-kos bahan (cost-push inflation) yang melingkari sektor pembuatan dan pembinaan sekarang.

Kadar hutang isi rumah turut memerlukan pemantauan serius sebagaimana dilaporkan bahawa jumlah hutang isi rumah kepada nilai keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun 2011 adalah pada nisbah 77 peratus, sebahagian besarnya terdiri daripada pembiayaan untuk pembelian rumah yang semakin meningkat harganya serta pembiayaan untuk pembelian kereta yang mahal akibat dikenakan duti eksais yang tinggi.

Ini pastinya memberikan petanda amaran kepada isi rumah di bandar yang berpendapatan RM3,000 ke bawah kerana segmen ini lebih terdedah kepada risiko ketidakmampuan pendapatan akibat daripada beban hutang yang tinggi dan pendapatan penampan (buffer) yang tehad untuk menampung kebarangkalian kehilangan pendapatan untuk menampung perbelanjaan harian dan kenaikan harga yang mendadak.

Sebagaimana disebut oleh Professor Jeffrey Sachs di dalam bukunya yang berjudul ‘The End of Poverty’, “Banyak faktor yang menjadi penghalang kejayaan sesebuah negara untuk bersaing di peringkat global, antaranya amalan rasuah di sektor kerajaan, kelemahan penguatkuasaan undang-undang, kelemahan infrastrukur pengangkutan dan komunikasi, ketidakstabilan politik, dasar pengawalan (protectionism), wabak penyakit, dan kekangan geografi”. Untuk mengatasi batu penghalang kejayaan ekonomi sesebuah negara, Sachs memperkenalkan istilah ‘Ekonomi Klinikal’ dan menyebut, “Negara, umpama pesakit, merupakan sebuah sistem yang kompleks, memerlukan diagnosis yang khusus dan pemahaman konteks, pemantauan dan penilaian, juga etika profesional yang tinggi untuk memulihkannya”.

Ekonomi Malaysia — Langkah Pemulihan

Tiada siapa dapat menafikan bahawa ekonomi Malaysia perlu dipulihkan secara holistik. Sebuah ekonomi yang sihat diukur pada tahap permintaan dan penawaran agregat yang terbit daripada transaksi melibatkan barangan dan perkhidmatan yang dijalankan oleh sektor perniagaan dan keusahawanan, dan tertakluk kepada model dan dasar ekonomi yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

Di sektor perusahaan, terdapat dua kategori usahawan iaitu mereka yang berdaya-eksplorasi (exploration) dan mereka yang berdaya-eksploitasi (exploitation). Di dalam sesebuah ekonomi, kedua-dua jenis usahawan ini wujud tetapi sebuah ekonomi yang sihat memilih lebih ramai usahawan berdaya-eksplorasi.

Namun, dari masa ke masa, kebanyakan usahawan berdaya-eksplorasi ini cenderung untuk beralih kepada usahawan berdaya-eksploitasi apabila mereka ini ‘terlalu besar untuk gagal’, ketandusan idea baru, meneruskan penghasilan produk yang sama berbanding membangunkan produk baru, melobi kerajaan untuk mendapatkan insentif cukai dan tender yang menguntungkan, mengurangkan kos dengan memberi tekanan kepada pekerja, bergabung dengan pesaing untuk mewujudkan gergasi monopoli, dan memanipulasi harga untuk mengaut keuntungan yang lebih terhadap pengguna.


Usahawan yang berjaya adalah mereka yang melaburkan masa dan tenaga dalam mencipta produk yang lebih baik, memberikan khidmat pelanggan yang efektif dan menyokong segmen pekerja untuk meningkatkan komitmen dan produktiviti. Sokongan kerajaan perlu dialih daripada membela korporatgergasi kepada usaha penggalakan pertumbuhan industri kecil dan sederhana. Insentif dan subsidi perlu disalurkan untuk meningkatkan kecekapan dan dayatahan rakyat dan usahawan, manakala polisi cukai dan undang-undang perlu dilaksanakan untuk mewujudkan iklim pelaburan yang mampan dan produktiviti yang tinggi, bukannya untuk melahirkan generasi ‘kenal-siapa’ (know-who) yang mengatasi kualiti ‘tahu-bagaimana’ (know-how) di dalam masyarakat.

Di pentas politik pula terdapat dua kategori ahli politik iaitu mereka yang berdaya-khidmat (service) dan mereka yang berdaya-manipulasi (manipulation). Di dalam sesebuah ekonomi, kedua-dua jenis ahli politik ini wujud tetapi sebuah ekonomi yang sihat memilih lebih ramai ahli politik berdaya-khidmat berbanding ahli politik yang korup dan hidup dengan salah guna kuasa. Dasar fiskal yang penuh integriti sangat diperlukan untuk Malaysia. Dasar ekonomi negara perlu dibina di atas prinsip nilai, berbanding terbina di atas prinsip tamak dan takut (greed and fear). Aliran dana pembiayaan perlu disalur untuk merangsang pertumbuhan daya usahawan serta perkongsian risiko dan keuntungan, berbanding elemen penolakan-risiko (risk-avoidance). Kapitalisma (capitalism) kini sudah disamaertikan dengan Hutangisma (debtism), tatkala pertambahan pendapatan perlu lahir daripada partisipasi aktiviti ekonomi yang sebenar.

Semestinya, pemangkin pertumbuhan ekonomi sebenar terletak di tangan rakyat dan pengguna. Tahap permintaan dan penawaran agregat di dalam negara bergantung pada tahap kecenderungan rakyat untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang dibalas dengan ganjaran pendapatan, seterusnya kecenderungan untuk berbelanja, menyimpan dan meminjam. Kita seharusnya hidup berdasarkan kemampuan, seterusnya berjimat untuk menyimpan dan meminjam hanya untuk perkara yang berkualiti dan diperlukan.

Menarik untuk disorot ungkapan TG Nik Aziz di dalam memberi pengertian terhadap sebuah kehidupan, baik untuk diteladani oleh rakyat dan kerajaan, yang menyebut “Saya lebih pentingkan kehidupan yang mewah di akhirat berbanding di dunia sekarang. Saya tanamkan dalam jiwa saya, apabila meninggal dunia nanti saya pasti tanpa meninggalkan sebarang hutang. Ini sudah cukup bagi saya. Paling saya takut meninggalkan hutang di kedai runcit atau sebagainya”.

Malaysia kini berada di persimpangan.

Justeru, jawapan kepada persoalan utama di atas adalah, anda dan saya.

* Syahir Sulaiman merupaka EXCO Pemuda PAS.
Beliau mendokong usaha membangun Negara Berkebajikan.

* Sumber: The Malaysian Insider.


Memahami masaalah ekonomi.

0 Response to "Ekonomi Malaysia; Satu Diagnosis"

Posting Komentar