Pejuang Merdeka

KESATUAN MELAYU MUDA (KMM)

Kesatuan Melayu Muda ringkasnya KMM ialah perubuhan Melayu yang berunsur politik yang pertama di Tanah Melayu.

KMM ditubuhkan pada bulan Mei 1937, bertempat di Kampung Baru, Kuala Lumpur dengan tujuan untuk menimbulkan kesedaran kemerdekaan orang-orang Melayu, disamping melancarkan perjuangan anti-British. Pada waktu yang sama terdapat pertubuhan orang Melayu yang lain seperti Persatuan Melayu Johor, Persatuan Melayu Selangor, dan lain-lain tetapi tidak mengamalkan prinsip perjuangan seperti KMM.

Penubuhan KMM adalah hasil daripada satu himpunan pelajar-pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) bersama-sama dengan segelintir para inteligensia Melayu dari beberapa institusi pengajian tinggi di Kuala Lumpur, dan golongan muda Melayu yang bersikap radikal, serta wartawan akhbar Majlis.

Ibrahim Yaacob

Jawatankuasa pusat KMM awal terdiri daripada Ibrahim Hj. Yaacob (presiden), Mustapha Hussein (Naib Presiden), Hasan Manan (Setiausaha Agung), Othman Mohd. Noor (Setiausaha), Idris Hakim (Bendahari), dan ahli jawatankuasa Pusatnya ialah Idris Hakim, Ishak Hj. Mohammad, Onan Haji Siraj, Abdul Karim Rashid, Bahar Abik, Sulung Chik, Abdullah Kamil, Abdul Samad Ahmad, Mohd. Salehuddin dan Ahmad Boestamam.

Semasa penubuhan ini, turut hadir ialah Sutan Djenain, pemimpin Serekat Islam Merah dari Indonesia. Sutan Djenain merupakan orang di belakang penubuhan KMM, dan pergerakannya menyebarkan pengaruh sebelum perang Dunia Kedua.

KMM yang ditubuhkan secara sulit ini mempunyai ideologi dan prinsip perjuangan berlandaskan demokratik sentralisme. KMM menolak monopoli harta dan kekayaan oleh perusahaan swasta atau gabungan koperasi multinasional. Tetapi dasar sosialisme yang diamalkan ini tidak menafikan hak dan kebebasan dalam proses pengumpulan harta.

Cuma dalam mengamalkan demokrasi dalam ekonomi ini, KMM mahu mengelakkan monopoli dan eksploitasi ke atas rakyat jelata. KMM berhasrat menggunakan sosialisme untuk menjamin kelancaran pelaksanaan mekanisme demokratiknya.

Dasar perjuangan KMM antaranya ialah anti penjajahan, anti elite birokrat Melayu yang berorientasi Barat, penyatuan nasional, berperikemanusiaan, kemerdekaan nusa dan bangsa, demokrasi rasa persaudaraan dan berasaskan kebenaran dan kesucian. Bagi KMM penyatuan nasional penting bagi mewujudkan suatu tekanan kepada penjajah British di Tanah Melayu.

Orang-orang Melayu harus bersatu menghapuskan semangat kenegerian yang pada pendapat KMM sengaja diwujudkan oleh dasar penjajah. Atas dasar inilah KMM tidak dapat berjuang bersama-sama persatuan yang mirip kepada kenegerian, misalnya Kesatuan Melayu Selangor dan Kesatuan Melayu Perak. Malahan hakikat penubuhan KMM itupun atas kesedaran menentang persatuan Melayu yang bersifat kenegerian yang memisahkan orang-orang Melayu.

Memandangkan kelemahan di kalangan sesetengah sultan dan pembesar Melayu terlalu ketara, hingga menunjukkan kelemahan kekuasaan mereka kepada bangsanya sendiri, golongan elit inteligensia yang insaf dalam KMM berpendapat bahawa KMM harus menjadi badan yang akan cuba mempengaruhi sultan dan pembesar, atau sekurang-kurangnya memberikan petunjuk ajar dan panduan kepada mereka apabila berhadapan dengan Residen British dalam menghadapi masalah negara.

KMM juga berpendapat bahawa ia harus menjadi badan yang akan menuntut hak bangsa Melayu dengan mengesyorkan melalui akhbar-akhbar agar perkara ini dibincangkan dalam majlis mesyuarat negeri-negeri atau persekutuan. Salah satu daripada syor yang dikemukakan oleh KMM ialah penubuhan ‘kampung-kampung baru orang Melayu’ untuk dijadikan penempatan orang-orang Melayu di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur. Syor ini dikemukakan kepada sultan kerana bimbang orang-orang Melayu akan terusir ke kawasan pedalaman.

Kontroversi yang timbul daripada fahaman anti-feudal menyebabkan orang Melayu tidak menyokong KMM di peringkat awalnya. Sultan dan pembesar Melayu juga mencurigai KMM, dan ada di antara mereka yang menentang pengaruh KMM di negerinya. Mereka tidak suka pada demokrasi yang menuntut persamaan hak, dan adanya badan yang menyertai politik membela bangsanya.

Pada mereka orang-orang Melayu tidak berhak campur tangan dalam urusan politik negeri dan bangsanya. Mereka harus taat dan setia kepada sultan dan pembesar. Walaupun begitu, terdapat juga sultan yang memahami dan member sokongan moral kepada KMM. Di antaranya termasuklah Sultan Abu Bakar, Pahang yang tidak dapat menyokong secara terang-terangan kerana menjaga keselamatan diri mereka.

Di samping itu, dasar-dasar perjuangan KMM tidak dapat dinyatakan secara terang-terangan kerana kerana keadaan politik masa itu yang terlalu sensitive. Untuk menyatakan sikap anti-penjajah dan anti-feudal adalah suatu hal yang tidak mungkin. Oleh itu pemahaman ideologi dan dasar-dasar perjuangan KMM tidak tersebar dan diketahui oleh orang-orang Melayu. Ini merupakan salah satu faktor kekurangan pengaruhnya di kalangan orang-orang Melayu sebelum perang.

Sungguhpun begitu, kehebatan KMM dalam usaha menyebarkan idea dan pengaruhnya dengan begitu cepat (2 tahun sahaja) amatlah mengkagumkan, sehingga membawa kepada penangkapan pemimpin-pemimpin KMM pada Disember 1941.

Sumber:  http://mindaahad.wordpress.com

0 Response to "Pejuang Merdeka"

Posting Komentar